Tuesday, May 5, 2009

:: Ikatan Janji Setia ::

Alhamdulillah, pada 3 April yang lalu tapuk kepimpinan Malaysia telah pun bertukar tangan. Tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas perlantikkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Memetik kata-kata beliau dalam ucapan pertamanya pada majlis perhimpunan bulanan JPM,

‘‘Kadang kala dalam rutin kerja, kita lupa sebenarnya analisis akhir ditentukan oleh rakyat..”
Utusan Malaysia Online

Jika inilah cara pemimpin kita berfikir, pasti negara Malaysia akan menapak selangkah ke hadapan dalam pembangunan yang mencakupi segenap masyarakat. InsyaAllah. Inilah kesedaran yang kita inginkan dari para pemimpin kita. Untuk bersama-sama turun padang. Memimpin dari sisi, dan bukan semata-mata mengarah dari atas. Mahupun hanya menujah dari bawah.

Khalifah Islam yang ke-2, Saidina Umar al-Khattab telah menunjukkan contoh terbaik dalam mendahulukan rakyat sebelum memenuhi kepuasan sendiri;

----------------------------------------------------------------------------------

Pada satu hari, Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan telah merasa satu hidangan habish, makanan yang dibuat daripada minyak sapi dan kurma. Gabenor merasakan bahawa hidangan itu pasti dapat menghiburkan hati pemimpinnya, Saidina Umar al-Khattab, Khalifah pada zaman itu. Lantas, dua utusan berangkat ke Madinah membawakan hidangan tersebut.

Setelah dihidangkan, Saidina Umar menjamah makanan tersebut,

“Makanan apa ini?” tanya Umar

“Makanan ini namanya habish, Makanan paling lazat di Azerbaijan,” jawab salah seorang dari utusan.

“Apakah seluruh penduduk Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?” tanya Umar lagi.

“Tidak. Tidak semuanya boleh menikmatinya,” jawab si utusan dengan gugup.

Wajah Khalifah lantas berubah menjadi merah, petanda sedang marah. Dia segera mengarahkan dua utusan tadi membawa habish itu kembali kepada gabenor mereka. Kepada gabenor, diutuskan sepucuk surat;

‘…….. makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibu kamu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.’

Dipetik dan diolah dari ‘Belajar dari Dua Umar; Kenyangkan Perut Rakyat, karya Hepi Andi Bastoni

----------------------------------------------------------------------------------

Subahanallah… Lalu, apabila saya mebaca teks kata-kata Datuk Najib,

‘‘Rakyat yang berpuas hati dengan kerajaan itulah rakyat yang akan bersama-sama dengan kerajaan, insya-Allah,”
Saya merasa bahawa lembayung Islam kini makin memayungi Malaysia. Benar, kerajaan memerlukan rakyat sepertimana rakyat memerlukan kerajaan. Kita bukannya entiti yang berbeza tetapi satu pohon yang saling melengkapi dalam menyuburkan dan memakmurkan tanah air kita yang tercinta.

Para pemimpin adalah dahan yang meliar mencari oportuniti untuk membesar. Dilihat mata kasar dan menjadi penghubung lepada dunia luar. Namun begitu, kita tidak harus melupakan rakyat, akar-akar yang memberikan kekuatan, menyalurkan nutrisi dan membantu dalam tumbesaran pohon itu sendiri.

Sudah separuh abad Malaysia merdeka. Telah banyak perubahan yang dapat kita lihat dari segi ekonominya. Namun, dari sudut pandangan yang mentah ini, saya merasakan lebih banyak lagi yang Malaysia boleh lakukan dari sudut sosialnya. Antaranya adalah sistem pendidikan kita Ikut kata Datuk Najib, Datuk Muhyidin sedang mengkaji sistem ini. Harapnya, bertambah baiklah sistem kita itu.

Tahniah sekali lagi saya ucapkan lepada Datuk Seri Najib berserta menteri-menteri lain yang telah menjadi tunggak kepimpinan Malaysia. Semoga usaha Datuk dalam mewujudkan ‘janji setia’ antara para penjawat awam menjadi misi kabinet secara menyeluruh. Dan yang pastinya, bukanlah sekadar kata-kata tetapi tiada tindakan yang dilakukan. Walaupun berada di perantauan, saya mendoakan agar kepimpinan di Malaysia akan terus berkembang maju, mendapat sokongan padu rakyat dan menggunakan hukum Islam sebagai panduan utama. Amin~

:: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri… baik lagi di negeri sendiri ::

0 comments: